Isu kalimah Allah: Patuhi keputusan mahkamah





Orang ramai dinasihat supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kes rayuan penggunaan perkataan Allah dalam majalah The Herald, yang boleh menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata orang ramai perlu menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober lalu. Beliau juga berkata inti pati daripada keputusan mahkamah ialah Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan perkataan yang boleh memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Abdul Gani berkata selagi budi bicara itu dilaksanakan secara mengikut undang-undang, wajar, rasional dan mengikut kadarnya, maka mahkamah tidak akan campur tangan terhadap budi bicara menteri dalam perkara itu. Abdul Gani membuat kenyataan itu sebagai reaksi terhadap penghakiman yang membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009.


Berikut kenyataan penuh Peguam Negara yang diedarkan kepada media: Kuala Lumpur: Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009, membenarkan permohonan semakan kehakiman Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Titular) ke atas keputusan Menteri pada 7 Januari 2009, yang melarang Titular daripada menggunakan perkataan Allah dalam teks bahasa Melayu ‘The Herald - The Catholic Weekly’ (The Herald).



Dalam membenarkan rayuan itu, Mahkamah Rayuan mendapati menteri tidak bertindak melebihi kuasa dan fungsi statutori mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam perenggan 42 penghakiman bertulisnya, Yang Arif Hakim Mohamed Apandi Ali (Datuk Seri) memutuskan keputusan menteri itu dibuat mengikut kuasa dan fungsi statutori dan intra vires (dalam bidang kuasa yang ditetapkan undang-undang) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam perenggan 11 penghakimannya, Yang Arif Hakim Abdul Aziz (Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim) menyatakan selepas menimbang dengan amat teliti terhadap undang-undang yang boleh diguna pakai berhubung pelaksanaan budi bicara dan alasan yang dikemukakan, keputusan menteri berkenaan munasabah dan tidak bercanggah dengan prinsip ketidakadilan, pelanggaran prosedur, perkadaran dan tidak rasional.
Berhubung keselamatan negara dan ketenteraman awam, Mahkamah Rayuan mendapati menteri mempunyai budi bicara membuat keputusan sama ada penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu boleh memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.


Berlandas fakta

Yang Arif Hakim Mohamad Apandi Ali dalam perenggan 42 penghakimannya, memutuskan berdasarkan fakta dan keadaan kes, penggunaan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayu The Herald, tanpa ragu-ragu boleh menjejaskan kehidupan masyarakat Malaysia.

Dalam perenggan 39 dan 40, Hakim Abdul Aziz memutuskan pertimbangan menteri mengenai keselamatan negara dan ketenteraman awam, tidak hanya terhad kepada gangguan sebenar terhadap ketenteraman atau kesejahteraan awam semata-mata. Dalam kes ini, peristiwa yang berlaku selepas keputusan Mahkamah Tinggi menunjukkan menteri berkenaan mempunyai kewajaran berhubung kebimbangan beliau tindakan The Herald menggunakan perkataan Allah sebagai tafsiran bagi perkataan Tuhan atau konsep ketuhanan kerana ia boleh menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Tidak mewajarkan

Mahkamah Rayuan juga sebulat suara memutuskan bahawa perlindungan dari segi Perlembagaan yang diberi kepada seseorang dalam mengamalkan agamanya, terhad kepada kesempurnaan amalan dan menjadi bahagian penting bagi sesuatu agama.

Mahkamah memutuskan bahawa penggunaan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayu The Herald bagi merujuk kepada Tuhan, bukan bahagian kesempurnaan atau bahagian penting dalam agama Kristian dan oleh itu, tidak mewajarkan diberi jaminan di sisi perlembagaan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya terhad kepada penerbitan teks bahasa Melayu The Herald. Dalam perenggan 30 penghakimannya, Hakim Abdul Aziz memutuskan bahawa Al-Kitab dan The Herald adalah dua penerbitan yang berbeza sama sekali.

Al-Kitab adalah Injil versi dalam Bahasa Melayu bagi kegunaan penganut Kristian di gereja, manakala The Herald adalah sebuah akhbar yang juga boleh diakses dalam talian oleh pembaca beragama Islam dan bukan Islam.

Yang Arif seterusnya menyatakan bahawa oleh itu, kebenaran yang diberi menteri berkenaan bagi percetakan dan penerbitan Al-Kitab, yang mengandungi perkataan Allah, tidak boleh diambil kira sama seperti yang merujuk kepada The Herald.

Inti pati keputusan adalah apabila ia membabitkan keselamatan negara dan ketenteraman awam, menteri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan perkataan yang boleh memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Elak hina mahkamah

Selagi budi bicara itu dilaksanakan mengikut undang-undang, wajar, rasional dan mengikut kadarnya, maka mahkamah tidak akan campur tangan terhadap budi bicara menteri berkenaan dalam perkara ini.

Pejabat Peguam Negara menasihati orang ramai supaya menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah.

Tan Sri Abdul Gani Patail Peguam Negara Malaysia 20 Oktober 2013

Sumber:
 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsukalimahAllah_Patuhikeputusanmahkamah/Article/

Comments

Popular posts from this blog

Sumber Undang-Undang Di Malaysia

Man who posed as ntv7 journalist jailed three years

Saya Hanya Penjamin, Kenapa Saya?