Keganasan Rumah Tangga & Undang-Undang

Keganasan rumah tangga berlaku apabila seseorang secara sengaja atau dengan sedar meletak atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal serta menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa. Dengan cara memaksa atau mengancam mangsa untuk melakukan perhubungan seksual juga boleh dikatakan salah satu ciri keganasan rumah tangga. Malah, ada juga mangsa mendakwa dirinya dikurung dan ditahan tanpa rela. 

Secara umum, isteri yang sering menjadi sasaran didera oleh suami. Tetapi, ada juga suami yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Sekiranya, seseorang itu bekas isteri atau bekas suami tetapi dilakukan perbuatan di atas juga masih dikatakan mangsa keganasan rumah tangga meski sudah tiada ikatan yang sah dengan pemangsa. Kanak-kanak berumur 18 tahun yang tinggal sebagai seorang ahli keluarga juga boleh jadi mangsa keganasan rumah tangga. 

Dalam hal ini, jika seseorang mangsa itu mengadu diperlakukan oleh pemangsa maka beliau berhak mendapat pertolongan atau panduan daripada mana-mana Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jika ada kecederaan, boleh mendapatkan perlindungan segera di Pusat Khidmat Sepadu di Unit Kecemasan hospital utama. Sekiranya perlukan khidmat nasihat dari segi perundangan, boleh hubungi peguam atau pegawai di Jabatan Bantuan Guaman serta membuat laporan polis di mana-mana balai polis.

Mangsa keganasan rumah tangga berhak menuntut pampasan daripada pesalah jika alami kecederaan diri, kerosakan kepada harta serta kerugian kewangan dan mahkamah akan membenarkan tuntutan itu sebagaimana yang difikirkan munasabah dan adil. Tuntutan pampasan ini boleh dibuat sebagai suatu tindakan sivil yang berasingan sungguhpun tindakan jenayah telah diambil terhadap pesalah.

Seeloknya, apabila mengetahui diri menjadi mangsa keganasan rumah tangga, hendaklah berusaha melepaskan diri daripada belenggu tersebut. Jangan memendamkan sahaja jika pasangan melakukan keganasan rumah tangga terhadap anda. Demi masa depan anda dan anak-anak, suatu tindakan harus dilakukan dan cubalah hubungi mereka yang anda rasa berkemampuan membantu anda.

* Ditulis oleh Peguambela & Peguamcara
(zilaco15@gmail.com)

Comments

Popular posts from this blog

Sumber Undang-Undang Di Malaysia

Man who posed as ntv7 journalist jailed three years

Saya Hanya Penjamin, Kenapa Saya?